“Sayang ni abang ni. Sayang okay tak ni? Jom kita pergi
klinik lah. Abang risau”
Perlahan kelopak mataku terbuka. Aku melihat wajah itu
terpaku betul-betul di hadapanku. Wajahnya jelas menzahirkan kerisauan. Hatiku
tersentuh sesaat. Namun kenyataan kembali mengetuk minda sedarku. Ternyata
peristiwa tadi bukan lah sebuah mimpi. Aku terus bangkit setelah menyedari aku
sedang berbaring di pangkuannya. Aku memegang kepala ku. Oh, mana tudungku?
Tanganku pantas menyambar kain selimut yang berada berhampiran denganku.
Bagaimana mungkin aku membuka auratku di hadapan yang bukan halal bagiku.
Astaghfirullah. Nauzubillahi min zalik.
Walaupun aku cukup kenal lelaki di hadapanku ini. Walaupun
lelaki ini pernah menghangatkan hati ku yang masih mentah suatu ketika dahulu.
Namun aku pendam segalanya. Tiada pernah terluah pada sesiapa. Setelah itu, aku
sedar perasaan seperti itu tiada membawa aku ke mana. Semakin aku diulit
kenangan yang manis itu semakin aku sedar betapa aku hidup hanya dalam
angan-angan. Akhirnya hatiku terpaut dengan cinta hakiki. Sejak itu, aku
berusaha menagih cinta agung itu. Payah, teramat payah. Namun aku yakin, ianya
tidak akan mengecewakan. Aku mengerti Allah langsung tidak membutuhkan cintaku
namun akulah yang memerlukan cintaNya dalam kehidupan ku. Setelah
bersungguh-sungguh aku memelihara cinta untuk Allah dan Rasul,tak mungkin aku
akan membuat perkara terkutuk ini. Sudah terang lagi bersuluh, ianya akan
mengundang kemarahan Khaliqku.
“Astagfirullah. Apa yang awak buat kat sini? Tolonglah
bagitahu saya. Kenapa saya ada di sini?” kini suaraku tidak lantang seperti tadi lagi. Perlahan,
sayu, tenggelam bersama sendu yang takutkan Rabnya.
Berkerut kening lelaki itu. Dia seakan tidak percaya dan
tidak memahami situasi ini.
“Kenapa ni sayang? Ni kan abang, suami sah sayang dan ni kan
rumah kita. Sayang stress banyak assignment ya?
Lembut tutur katanya. Aneh, hatiku terasa seakan terpujuk
dengan setiap perkataannya. Sekali lagi aku ibarat berada di perhentian waktu.
Tenang dan sejuk hatiku.
Namun.. Eh, suami?? Rumah kita? Eh? Subhanallah apa semua
ini? Seingat aku, aku tak pernah bernikah. Kenapa lelaki ini mengaku-ngaku dia
suamiku?
“Maaf. Maaf sangat-sangat. Tapi saya betul-betul tak boleh
terima ini. Macam mana awak boleh mengaku awak suami saya. Seingat saya, saya
tak berkahwin lagi.” Aku tidak boleh lagi menerima situasi ini. Amat tidak
munasabah pada akal logik ku. Mana bisa aku menerima seorang yang tiba-tiba
mengaku sebagai suamiku.
“Sayang, sayang bergurau dengan abang ya. Sebenarnya nanti
abang ada kelas, kalau sayang tak ada apa-apa senang sedikit hati abang nak
pergi kelas. Tapi abang risau, sayang tak pernah pengsan sebelum ni. Sayang,
tolong jangan bergurau macam ni dengan abang.” Kini nada suaranya bercampur tegas
dan sayang.
Terkesima aku mendengar bait-bait percakapannya itu. Tidak
fahamkah lelaki ini bahawa seingat aku, aku memang belum lagi pernah menikah,
bukannya bergurau. Bukan setakat aku yang bernikah, malah idea perkahwinan itu
terasa amat lagi jauh dalam kamus kehidupanku sebagai seorang pelajar di tahun satu. Bagaimana mungkin, dalam hanya
satu malam aku bernikah. Tentulah tidak!
Mana pergi sahabat-sahabatku, Huda, Ana dan Eyqa? Mana pergi
teman sebilikku itu?
Melihat konsistensi wajahnya yang seakan memang benarlah dia
suamiku. Aku menjadi takut. Sebenarnya apa yang telah terjadi pada aku. Kenapa
dengan tiba-tiba aku boleh mempunyai seorang suami. Panas pipiku. Perlahan
manik-manik putih jatuh menghiasi wajah aku.
Melihat aku menangis tersendu-sendu, dia menjadi panik.
Tergambar di wajahnya seakan pening dan pusing dengan keadaan aku yang mungkin
kelihatan tidak logik di akal fikirannya.
“ Sayang tolong jangan menangis. Abang tak nak buat isteri
abang sedih. Sebenarnya apa yang dah berlaku ni? Sayang betul-betul tak ingat
abang ni suami sayang?” dia bersuara setelah yakin yang kata-kataku sebelum ini
bukan sekadar gurauan.
Aku mengangguk perlahan.
“Baiklah. Kalau macam itu, sayang nak abang buktikan yang
abang ini memang suami sah sayang?” laju respons nya terhadap anggukanku.
Aku terus mengangkat muka apabila menyedari yang dia semakin
memberi perhatian akan kondisi ku ini.
“Ya.” Pendek aku menjawab.
“Baik. Tunggu di sini sekejap.”
Dia bingkas bangun dan berjalan ke arah sebuah almari di tepi
katil. Tak lama kemudian dia kembali dengan sekeping kertas berbentuk seperti
sijil di tangan kanannya. Perlahan dia menghulurkan kertas itu kepada aku.
Terperanjat bukan kepalang aku melihat bahawa nama aku dan
namanya tertera di kertas itu. Dan jelas di atas kertas itu ada tertulis sijil
perkahwinan. Ya Allah, jadi benarlah lelaki ini suamiku. Lalu anak mataku jatuh
pada tarikh perkahwinan yang tercatat di situ. Subhanallah, 15 Jun 2013?
Bukankah sekarang baharu di penghujung tahun 2011? Mengapa tercatat di situ 15
Jun 2013?
Bagiku ini semakin mencabar akal sihatku. Tidak mungkin aku boleh berada di masa
hadapan seolah-olah aku menaiki mesin masa doraemon.
“Awak, hari ini berapa haribulan?”
Dia yang dari tadi memerhati gelagatku dengan pantas
meberikan jawapan.
“1 Jan 2014, sayang.”
Meremang bulu romaku mendengar panggilan sayang darinya.
Ketika itu, jika boleh, ingin sahaja aku meluru ke pintu dan lari sejauh yang mungkin
dari lelaki yang tanpa henti menatap wajahku itu. Rasa tidak selesa aku
diperlakukan begitu. Namun itu tidak
melumpuhkan hasratku untuk terus mencari kebenaran. Sukar untuk aku mempercayai
bahawa aku berada di tahun 2014 sekarang ini. Padahal semalam baharu sahaja 16
Disember 2011, dan dalam masa seminggu lagi aku akan menghadapi ujian akhir di
sem keduaku di UIAM Kuantan. Ya, mesin
masa doraemon memang tidak wujud di dunia nyata!
Pantas aku mengambil telefon bimbit di atas meja kecil juga
berhampiran katil. Ku sudah tidak peduli punya siapa telefon itu. Seperti bukan
milikku. Lantas, aku mencari aplikasi kalendar. Lama juga aku membelek telefon
itu. Hai, kenapa tak pernah aku jumpa telefon bimbit seperti ini sebelum ini.
Canggih benar. Akhirnya, aku berjaya juga menemui aplikasi itu. Aduh terasa diri
amat kolot dan sangat tergopoh gapah di hadapan lelaki itu. Malu juga diri ini
seketika.
Terbeliak rasanya dua biji mataku, ternyata benar dakwaan
lelaki di hadapanku ini. Tarikh hari ini ialah 1 Januari 2014. Aku tunduk dan
tarik nafas dalam-dalam. Rasional aku bertarung denga pancaindera mataku.
Manakah satu kebenaran? Aku buntu, dan titisan air mata sekali lagi membasahi
pipiku.
Tiba-tiba terasa bahuku dipegang. Berdebar-debar jantungku.
Ingin aku menolak tangan itu, tapi entah mengapa terasa bagai hilang segala
kudratku kala itu. Segalanya bagai sambaran petir dengan tenaga voltan yang
paling tinggi. Bagaimana mungkin tubuhku mampu mengendalikan voltan yang tinggi
itu?
“Sayang, abang tak tahu kenapa sayang jadi begini. Tapi
sayang perlu ingat abang sentiasa ada di sini untuk sayang.”
Sekali lagi terpujuk hatiku. Namun, itu masih tidak mudah
membeli keselesaan dan kepercayaan aku untuk lelaki itu. Hati aku masih tidak
dapat menerima berita mendadak seperti ini. Perlahan aku menolak tangannya dan
berganjak jauh daripadanya.
Sebelum sempat dia berbicara, pantas aku bersuara.
“Maafkan saya. Saya tahu awak telah tunjukkan bukti bahawa
saya isteri awak. Dan saya faham seorang isteri tidak boleh menolak suaminya.
Tapi saya harap sangat awak faham keadaan saya. Saya tak mampu menanggung semua
ini hanya dalam satu pagi. Dalam ingatan saya, saya masih di penghujung 2011.
Langsung tak terlintas di fikiran saya untuk bernikah selama bergelar pelajar.
Saya sangat berharap awak yakinkan saya lagi tentang semua ini. Awak, saya,
rumah ini dan segala-galanya. Bagi saya masa. Dalam pada itu, saya akan cuba
yang terbaik untuk menjadi sayap kiri awak.”
Aku tunduk, sedalam-dalamnya. Perasaanku bercampur baur.
Malu, segan, tidak percaya, terkilan semua nya ada. Melihat dia diam, aku tenggelam dalam
fikiranku sendiri, takut hendak mendengar jawapan dari kata-kataku tadi.
Suasana menjadi hening. Tiba-tiba suaranya memecah
keheningan pagi itu.
“Sayang, abang minta maaf andai abang menakutkan sayang
tadi. Walaupun abang sendiri kurang mengerti apa yang berlaku tapi abang
percaya pada sayang. Abang harap sayang pun percayakan abang. Abang janji,
abang akan buat yang terbaik untuk yakinkan sayang tentang abang, sayang, rumah
ni dan segala-galanya. Abang akan bagi sayang masa. Kalau sayang dah bersedia,
sayang bagitahu abang ya. Mungkin ada penjelasan dari segi perubatan tentang
situasi yang kita alami sekarang. Sekarang ni abang cuma nak sayang selesakan
diri sayang. Jangan paksa diri buat apa-apa lagi ya.” Jelas riak risau di wajah
lelaki itu.
Terharu aku mendengar ucapan daripada lelaki yang kini aku
harus menggapkannya sebagai suami, raja dalam kehidupanku. Selama ini aku
menyiapkan diri, aku membataskan pergaulanku dengan rakan-rakan berlainan
jantina untuk tampil istimewa di hadapannya.
Kerana Khaliqku telah memperintahkan untuk aku taat setia kepada insan
yang bergelar suami buatku. Padanya juga terletak syurga atau nerakaku.
Astagfirullah, besar sungguh tanggungjawabku sekarang. Mampukah aku ya Allah?
Namun, lelaki ini, adakah dia masih sama seperti yang pernah
aku kenalinya dahulu? Adakah dia masih nakal seperti dahulu? Dan yang paling
penting, sudahkah dia meletakkan Allah dan RasulNya di tempat tertinggi dalam
kehidupannya?
Masih teringat aku kata-katanya semasa kami bertemu di
perjumpaan reunion bersama beberapa
pelajar bekas sekolah kami yang belajar di university yang sama.
“Eh, dengar kata Syarifah dah nak kahwin. Suami dia dah
bekerja, dah ada kereta dan rumah pun.” Dia memulakan bicara di antara kami
semua.
“Baguslah tu kahwin awal.” Aku menyampuk di tengah-tengah
suasana.
“Umph. Buat apa kahwin awal? Masa ni kita main-main la dulu
biar puas.” Selamba dia membidas pendapatku tadi.
‘Bertuah punya lelaki. Ish ish.Syukur lah. Aku buat apa yang
patut. Kalau tak aku yang kena main,’ hati kecilku mengomel sendiri.
Lamunanku kembali ke alam nyata. Realitinya sekarang wanita
yang kini bergelar isterinya adalah aku.
Ya Allah, hanya padaMu aku mampu berdoa. Kurniakanlah aku
suami soleh yang mencintaiMu ya Allah. Sesungguhnya dialah yang bakal memimpin
aku dan anak-anakku kelak. Sama ada menuju ke Syurga abadi Mu ataupun
sebaliknya.
Aku sedar, walau apapun aku harus bersangka baik buat masa
sekarang. Aku bersangka baik dengan Allah. Dia pasti memberi yang terbaik
buatku.
Aku masih tidak mampu mengangkat wajah. Namun tiba-tiba
persoalan demi persoalan menyingkap di benakku.
“Macam mana dengan kuliyah saya? Sebenarnya saya kat mana
ni, Kuantan ke Gombak?”
Bingung rasanya apabila lokasi diri sendiri pon aku tidak
tahu.
“Oh pasal tu. Sekarang sayang kat Gombak. Rumah ni pun rumah
yang UIA bagi untuk pelajar yang dah status berkahwin. Baru minggu lepas abang
pindah sini. Sayang pun semalam baru first time sampai sini. Sayang, sayang
datang sini sebab final project
sayang. Dekat Kuantan tak ada banyak buku, jadi sayang datang perpustakaan
Gombak. Rancangannya hari ini sayang pergi sana untuk cari bahan. Sekaligus
abang hantar, then abang pergi kelas.” Panjang lebar dia menceritakan.
Aku menarik nafas panjang. Masyaallah sudah final year student rupanya aku ini. Mengapa dengan diriku ini? Mengapa
aku tak boleh ingat apa-apa? Ya Allah, adakah aku sakit atau hilang ingatan?
Bagaimana aku boleh menerima semua ini? Tak mampu rasanya.
Lalu aku bangun dan duduk di ceruk penjuru bilik.
Bertubi-tubi soalan menerkam mindaku. Kehadiran lelaki itu sudah tidak aku
peduli. Keadaan aku ibarat anak kecil yang baru ditinggalkan ibunya. Aku berasa
amat takut pada yang sama tidak percaya dengan apa yang berlaku.
Suami? Final year project? Apa semua ini? Aku
tak boleh terima ya Allah.
Sebentar aku beristigfar. Melihat kondisi aku, lelaki itu
memaparkan riak kasihan di wajah nya, perlahan-lahan menghampiri aku. Setelah
melabuhkan tangannya di atas bahu ku, dia bersuara.
“Sayang ambil wuduk, sayang solat ya. Minta petunjuk dengan
Allah. InsyaAllah, Dia akan beri sayang kekuatan untuk menempuhi semua ini.
Buat masa sekarang, abang rasa, abang harus bagi masa untuk sayang
bersendirian. Mengadulah padaNya dan ingatlah Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap
sesuatu perkara yang menimpa kita. Kita merancang, Dia juga merancang. Namun
perancangan Allah lah yang terbaik buat kita. Abang pergi dulu. Nanti habis
kelas abang terus balik. Sayang tunggu abang ya.”
Selesai bersuara, dia menghulurkan tanggannya untuk
kusalami.
Aku tergamam. Sungguh ketika itu aku tak tahu untuk berbuat
apa. Terasa sangat asing untuk menyalami tangan lelaki yang pada ingatanku adalah ajnabiku! Ya Allah, berilah aku petunjuk.
Aku memandang tepat matanya. Subhanallah, pandangan matanya
mententeramkan hatiku. Perlahan tanganku menyambut hulurannya. Entah mengapa,
namun saat itu aku betul-betul yakin dialah suamiku. Teman ku di dunia dan juga
di akhirat kelak.
Dia tersenyum dan kemudian berlalu pergi.
Terpana aku melihat senyuman itu. Bagai tertusuk jauh ke
dasar hati. Subhanallah, terasa kuat rabitah hati kami.
Setelah itu bagai mendapat semangat baru, aku bingkas bangun
dan menuju ke bilik air. Aku mengambil wuduk kemudian solat sunat dua rakaat.
Setelah itu, tanganku menggapai senaskah al-quran dan jariku membelek –belek
naskah agung itu dan akhirnya terhenti di surah al-kahfi. Aku mula mengalunkan
ayat-ayat Allah yang indah. Hatiku terasa tenteram.
Aku mula mentaddabbur bacaan itu. Aku menemui sepotong ayat
yang amat menyanyat hatiku. Terasa Allah seperti berbicara denganku. Jatuh air mataku saat itu juga.
“Maka Kami tutup telinga mereka di dalam gua itu, selama
beberapa tahun. Kemudian Kami bangunkan mereka, agar Kami mengetahui manakah di
antara kedua golongan itu yang lebih tepat dalam menghitung berapa lamanya mereka
tinggal (di dalam gua itu)”
[Al-Kahfi : 11-12]
Subhanallah, adakah aku tidak redha dengan ketentuanMu ya Allah? Baru sedikit Engkau
mahu mengujiku, namun aku sudah melatah sedemikian rupa.
Ampunkan hambaMu ini ya Allah. Ampunkan..
Aku tenggelam dalam sendu dan tangisku sendiri. Aku pasrah ya Allah..
No comments:
Post a Comment